Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BERAKAS, Selasa, 20 Januari. - Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, petang tadi, menerima kunjungan hormat daripada Yang Di-Pertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Pusat, Yang Berbahagia Profesor Madya Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah, yang sedang dalam rangka Lawatan Rasmi Ilmiah ke Negara Brunei Darussalam.
Kunjungan hormat tersebut diadakan di Bilik Dhiyafah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jalan Dewan Majlis.
Semasa kunjungan hormat, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bersama Yang Di-Pertua PUM Pusat berkesempatan bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengetahuan berkaitan Perkhidmatan Ugama termasuk pendidikan agama dan Arab, dakwah dan pelaksanaan Perundangan Islam.
Di samping mempererat hubungan silaturahim dan jaringan keilmuan antara kedua-dua pihak, ia turut membuka ruang bagi kerjasama pada masa hadapan dalam bidang yang berkepentingan bersama.
Rombongan turut disertai oleh Setiausaha Agung PUM Pusat, Profesor Dr. Mohd. Roslan bin Mohd. Nor; Pengerusi PUM Cawangan Sabah, Md. Razali Saibin; Pengerusi PUM Cawangan Terengganu, Ibrahim bin Tahir; Ahli PUM Cawangan Terengganu, Dr. Berhanuddian Abdullah, dan Ahli Jawatankuasa PUM Pusat, Profesor Madya Dr. Saupi bin Man.
Hadir sama pada majlis kunjungan hormat tersebut ialah Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), KHEU, Awang Misle bin Haji Abd. Karim dan Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, Awang Haji Mohammad Albi bin Haji Ibrahim.
PUM ialah sebuah Badan Buka Kerajaan (NGO) Islam yang ditubuhkan pada tahun 1977 untuk menyatukan ulama dan ilmuwan Islam di Malaysia.
PUM berperanan sebagai badan rujukan dan pemikir dalam menangani pelbagai isu dari perspektif Islam, memperkukuh kefahaman Islam 'wasatiyyah', menolak fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam, serta aktif menjalankan dakwah, nasihat dan aktiviti ilmiah demi menjaga kesucian agama dan keharmonian masyarakat.